Sistem Imun : siapakah pemain penting?

Sistem Imun : siapakah pemain penting?

35
SHARE

Sistem imun melindungi kita dari penceroboh asing seperti virus, bakteria, kulat, protein asing dan sel kanser. Ia adalah satu sistem yang sangat canggih, anugerah Yang Maha Pengasih, yang merupakan perlindungan terbaik dari sebarang penyakit berbahaya. Tiada ubat yang dapat menandingi sistem imun yang sihat. Ssecara ringkas sistem imun terdiri daripada sel khas, protein, tisu dan organ (nodus limfa, sistem pernafasan, limpa, kulit, apendiks, perut dan usus). Di dalam artikel ini saya akan terangkan serba sedikit mengenai tugas beberapa pemain dalam sistem imun:

1. Makrofaj (atau fagosit) – Sel darah putih yang berbentuk seperti Pac-Man, merupakan barisan pertahanan pertama sistem imun. Ia dengan cepat menyerang mana-mana penceroboh asing dan menelannya (seperti dalam permainan video Pac-Man). Namun kadangkala makrofaj tidak pasti sama ada yang datang itu penceroboh asing atau kawan.

Makrofaj sudah tentu tidak mahu memusnahkan sesuatu yang merupakan sebahagian dari tubuh kita. Untuk membantunya mengenali kawan atau musuh, makrofaj akan meminta bantuan sel T-pembantu.

2.Sel T-pembantu adalah dari kumpulan sel darah putih yang dikenali sebagai limfosit. Sel T-pembantu akan mendatangi dan melekatkan dirinya dengan makrofaj untuk membantu makrofaj mengenali sama ada yang berada dalam genggamannya itu kawan atau musuh. Sekiranya sel T-pembantu memutuskan ianya adalah musuh, ia akan mengeluarkan hormon yang dikenali sebagai sitokines, yang memberi isyarat kepada sistem imun untuk bertindak dengan pantas. Ini merangsang sel-B untuk bertindak dan menarik lebih banyak makrofaj dan sel T-pembantu untuk datang menyelamat.

Sekiranya sel T-pembantu tidak mengenali penceroboh asing tersebut, sistem imun akan menganggapnya sebagai kawan dan membiarkannya. Bayangkan apa yang akan terjadi. Ya, kita akan mendapat penyakit yang berpunca dari penceroboh (mikro-organisma) tersebut.

3. Sel-B mempunyai kemampuan untuk menembak penceroboh dengan enzim yang dapat menghancurkannya. Sebahagian dari sel-B akan kembali ke nodus limfa untuk membina antibodi bagi melawan penceroboh tadi. Sekiranya penceroboh ini menyerang lagi, sistem imun sudah bersedia mempertahankan diri disebabkan antibodi yang sudah dibina tadi.

4. Sel pembunuh semula jadi atau sel NK (natural killer) pula memusnahkan apa-apa yang berada di laluannya. Mereka menyemburkan sel yang dijangkiti dengan toksin dan enzim pemusnah, yang akan memusnahkan semua penceroboh asing atau sel yang tumbuh secara tidak normal seperti sel kanser. Apabila sel NK sudah mulai lemah atau tidak aktif dan tidak lagi berupaya memusnahkan sel kanser, disebabkan radikal bebas dan beberapa faktor lain, seseorang itu akan mendapat penyakit kanser. Memperkuatkan sel NK merupakan satu cara yang baik untuk kita memusnahkan sel kanser secara semulajadi (natural).

5. Sel T-penindas boleh diibaratkan sebagai pasukan pengaman yang datang selepas penceroboh asing telah dimusnahkan dan untuk menenangkan gerak balas imun yang beraksi dengan hebat itu. Ia merupakan faktor penting dalam mengawal kerosakan tidak dijangka (collateral damage). Sekiranya gerak balas imun yang begitu aktif tidak dikawal, ia akan menyebabkan kerosakan yang teruk kepada tisu normal di sekelilingnya. Sekiranya sel T-penindas tidur dan tidak dapat mengawal gerak balas tersebut, kita akan mendapat penyakit yang dikategorikan di bawah penyakit autoimun. Terdapat lebih 80 jenis penyakit autoimun, contohnya adalah diabetes jenis 1, artritis reumatoid, psoriasis, sklerosis berganda dan lupus.

Untuk membolehkan sistem imun melindungi kita seperti yang ditetapkan oleh Yang Maha Pencipta (Al-Khaaliq), kita perlu menjaga kesihatan dengan seoptimum mungkin. Ia perlukan Vitamin E, Vitamin C, karotenoid, glutation, koenzim Q10, Zink dan antioksidan untuk kekal sihat dan berfungsi pada tahap terbaik. Ia semestinya perlu datang makanan bernutrisi tinggi, tanpa pencemaran racun serangga dan kurang kontiminasi. Anda juga perlu mendapatkan pemakanan tambahan untuk menampung apa yang kurang.

Sekiranya anda merasakan anda tidak perlu mengambil permakanan tambahan untuk kekal sihat sepanjang hayat, fikirkan semula. Sila semak statistik mereka yang mendapat penyakit merbahaya seperti sakit jantung, kanser dan diabetes. Ia memberi kita petunjuk bahawa kita perlu melakukan sesuatu mengenai amalan permakanan kita.
Apa yang telah kita lakukan untuk membantu setiap pemain sistem Imun kita?

1 COMMENT

LEAVE A REPLY